Info Kesihatan

BPA dan Botol Susu Bayi

Jika anda perasan, BPA selalu tercatat pada botol susu bayi. Apakah itu BPA? BPA ialah singkatan nama bagi Bisphenol A sejenis bahan kimia yang lazimnya ditemui pada botol susu bayi. Kita akan lihat pasti ada tercatat BPA Free atau mungkin tidak tercatat langsung.

Ramai di antara kita kurang ambil perhatian dan mungkin kurang arif apa kesan BPA kepada kesihatan anak atau bayi anda.  Setelah membuat beberapa kajian mengenai artikel BPA di dalam internet dan bahan bacaan lain, di sini saya kongsikan bersama dengan pembaca blog ini.

Kajian yang dijalankan di Universiti Malaya mendapati percampuran polikarbonat dan Bisphenol A (BPA) dengan kandungan botol susu berkenaan pada suhu tertentu didakwa berbahaya kepada kesihatan bayi dan kanak-kanak. Namun tiada sebarang kajian saintifik dan penilaian yang dijalankan untuk mengesahkan fakta tersebut.

Hasil kajian tersebut mendapati:

  • BPA ini akan menyebabkan gangguan pada sistem hormon badan bayi.
  • Menjejaskan sistem tubuh badan bayi.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Pantai Ampang, Dr. Hanafiah Bashirun, BPA ialah bahan kimia industri yang digunakan untuk membuat botol susu bayi polikarbonat agar botol tersebut keras dan lutsinar.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa yang mampu dinasihatkan agar memilih botol susu bebas BPA, contohnya Polypropylene (PP), Polyethersulfone (PES), Polyamides (PA).

Botol susu yang mengandungi BPA biasanya bersifat keras dan lutsinar. Perhatikan label kod identifikasi plastik pada bawah botol susu. Botol susu yang mengandungi BPA akan dilabel dengan ‘Nombor 7’, ‘Nombor 7 dan PC’, atau ‘Nombor 7 dan other’. Bagi ibu bapa yang sedang menggunakan botol susu mengandungi BPA, adalah dinasihatkan agar menukar botol tersebut kepada botol ‘Bebas BPA’.

Fakta Botol Susu Jenis Polikarbonat

  • Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan penggunaan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi BPA selamat digunakan oleh bayi dan kanak-kanak.
  • Bisphenol A boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekaligus mengganggu sistem fungsi tubuh.
  • Sehingga tahun lepas, sebanyak 159 sampel botol susu bayi dianalisis oleh Kementerian Kesihatan dan 85 peratus daripadanya mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7mg/kg hasil kesan migrasi dari botol berkenaan.
  • Kajian Universiti Malaya (UM) menunjukkan kadar migrasi yang berlaku meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah celsius berbanding suhu bilik 25 darjah celsius.

Kenal Pasti Botol Susu Jenis Polikarbonat

  • Bersifat keras dan lutsinar yang mana ia mengandungi BPA.
  • Botol susu tersebut juga boleh dikenali melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.
  • Kod identifikasinya adalah ‘Nombor 7’, ‘Nombor 7 dan PC’, ‘Nombor 7 dan other’.
  • Botol susu bayi yang bebas BPA biasanya dilabelkan dengan perkataan ‘BPA Free’ atau bebas BPA.
Info lain
  • Kementerian Kesihatan mengharamkan penjualan botol susu jenis polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) mulai 1 Mac 2011.
  • Pada 30 Mac 2011, Kementerian Kesihatan memaklumkan pengharaman penggunaan botol susu bayi polikarbonat mengandungi BPA adalah tidak perlu dilakukan dengan serta-merta.
  • Menurut Menteri Kesihatan, datuk Seri Liow Tiong Lai, sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh dan terdapat ketidakpastian dalam kajian yang dijalankan oleh badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) walaupun mendapat gesaan pihak tetentu.
  • Oleh itu, pengguna boleh membuat pilihan awal dengan menukar botol susu jenis polikarbonat kepada botol susu bayi bebas BPA mengikut kemampuan masing-masing.
  • Terdapat pelbagai alternatif botol susu bayi di pasaran seperti yang diperbuat daripada Polypropylene (PP), Polyethersulfone (PES), Polyamides (PA) dan kaca.

One thought on “BPA dan Botol Susu Bayi

Leave a comment