Conflict

Bermacam-macam cerita yang didengari, dari jauh dan dekat. Ku sangkakan khabar angin, rupanya khabar badai dan khabar taufan yang menimpa. Jikalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

al-Kisah di sebuah tempat yang bernama Jay Tee Amm. Seorang pengembara yang telah lama mengembara, kini pulang ke kampung halaman. Kehadirannya disambut dengan gilang gemilang, majlis kenduri dan bunga manggar.

Namun di sebalik kemeriahan terselit berbagai gosip dan konflik yang bagaikan menunggu masa untuk meletup. Keakraban yang ditunjukkan hanyalah wayang kulit yang bukan kulit.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Sedikit sebanyak, si pengembara dapat melihat suasana yang kurang harmoninya. Si pengembara yang cuba menjernihkan keadaan rukun tetangga, dikatakan talam tak bersegi.

Diluah mati emak, ditelan mati bapak. Dengan kebijaksanaan ketua kampung yang baru, sedikit sebanyak telah meleraikan pertelingkahan dan salah faham di kalangan penduduk setempat.

Sebahagian kecil mengambil kesempatan di atas kebaikan dan keramahan yang dicurahkan oleh ketua kampung. Penduduk kampung menjadi berpuak-puak, sama ada sedar atau tak sedar. Usaha baik ketua kampung kelihatan sia-sia di mata si pengembara.

Apakah kesudahan kampung halaman si pengembara? Adakah perlu si pengembara, mengembara buat sekian kalinya? Hanya masa akan menentukan.