Berhari Raya Mengikut Sunnah

Eidulfitri merupakan hari kita bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan. Ia membawa makna kembali kepada fitrah. Fitrah maknanya bersih dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik oleh tarbiah (pendidikan) Ramadhan. Maka dengan erti kata lain, tujuan kita berhari raya ialah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadhan dalam masa yang sama mengekalkan momentum tarbiah Ramadhan yang mana maqsad (tujuan) utamanya iaitu menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Eidulfitri Yang Di Tuntut

Sebagaimana yang ditegaskan bahawa puasa disyariatkan bagi mencapai maqsad taqwa. Maka sambutan hari raya mestilah selari dengan apa yang dituntut oleh syarak. Anas r.a menceritakan:

“ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri. ” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i)

Jelas di sini, bagi umat Islam bukan ia sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ianya juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Apa yang menyedihkan kita sekarang ialah segelintir daripada manusia melakukan banyak kesalahan dalam menyambut hari raya. Malah ramai yang tidak mengerti apa sebenarnya tujuan mereka merayakannya. Lebih teruk, kegembiraan yang sepaturnya diraikan dalam suasana ibadah bertukar menjadi menderhakai Allah s.w.t.

Amalan Eidulfitri Mengikut Sunnah

Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal suatu amalan yang disyariatkan. Takbir ini bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) pada malam hari raya pertama dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam mula berkhutbah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah:185)

Lafaz ucapan selamat

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalallahu minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadhan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam hari raya sahaja. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadhan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadhan.

Memakai pakaian yang indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang nipis, menampakkan susuk badan dan bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menjerumuskannya ke dalam kemungkaran. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, (untuk menarik perhatian) dia adalah (ibarat) penzina.” (Hadis riwayat al-Nasaai)

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menarik perhatian lelaki hanyalah khusus untuk suaminya.

Mengerjakan Solat Sunat Eidulfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Eidulfitri adalah perlaksanaan solat sunat Eidulfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya (pertama) Eidulfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” ( Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, jika anda masuk ke masjid, wajarlah menunaikan solat dua rakaat tahiyyatul masjid. Merujuk kepada hadis di atas, Baginda S.A.W menunaikan solat hari raya di tanah lapang, bukan di masjid Baginda S.A.W.

Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Kiraan setahun adalah setelah mengambil kira 30 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kepada setiap amalan soleh akan digandakan sepuh pahala oleh Allah S.W.T. 30 hari Ramadhan ditambah 6 hari digandakan dengan sepuluh akan menghasilkan 360 hari iaitu julah hari untuk satu tahun.

Hadis ini menjadi penguat bahawa Syawal yang datang menjadi pelengkap kepada penyempurnaan Ramadhan yang sebelumya kita lakukan dalam usaha mencapai ketaqwaan kepada Allah S.W.T

Terdapat banyak lagi perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut hari raya ini seperti berjalan kaki ke masjid untuk bersolat raya, mandi di pagi raya, dan makan sebelum menunaikan solat raya.

Penutup

Kesimpulannya, Syawal menjadi penerus kepada maqasid puasa dan ibadah-ibadah lain dalam Ramadhan. Maka kita seharunya menyambut hari raya dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsafan dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut hari raya Eidulfitri menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, hari raya yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya

 

Sumber Masjid Negara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: