Izin Bukan Bererti Redha

Saya tidak suka terlalu berfalsafah dalam bicara. Tujuan ucapan dan ungkapan adalah untuk difahami oleh pendengar atau pembaca, bukan agar mereka bertambah pening. Pun begitu ada juga beberapa istilah yang perlu diperbetulkan, bukan kerana ingin berfalsafah tetapi kerana ia penting untuk difahami untuk mengelakkan salahfaham antara kaum muslimin.

Antara perkara yang penting untuk dibezakan ialah ungkapan ‘izin’ dan ‘redha’. Kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Arab. Apa yang kita izinkan bukan semestinya kita redha. Juga apa yang kita redha bukan semestinya kita izinkan. Juga mungkin apa yang kita izinkan itu kita redha, atau sebaliknya juga mungkin apa yang kita redha maka kita izinkan. Mengizinkan bermaksud membolehkan sesuatu itu berlaku (lihat: al-Kafawi, al-Kulliyyat, 72, Beirut: Muassasah al-Risalah). Sementara redha bermaksud suka atau kasih kepada sesuatu. Disebut al-Mahabbah wa al-Ridha atau cinta dan redha (ibid 76).

Kita mungkin memberikan kebenaran atau memboleh sesuatu yang di bawah penguasaan kita berlaku dalam keadaan redha ataupun tidak redha. Apa yang kita izinkan bukanlah semestinya kita redha atau suka. Umpamanya jika seseorang pemerintah muslim mengizinkan bukan muslim membina rumah ibadah mereka, bukanlah semestinya bererti pemerintah tersebut meredhai kekufuran atau penyembahan selain daripada Allah.

Demikian juga apabila pemerintah tertentu mengizinkan mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti minum arak atau berjudi dalam premis mereka, bukanlah bererti pemerintah tersebut telah menghalalkan arak atau judi. Keizinan itu diberikan disebabkan kerana hak-hak mereka sebagai bukan muslim dalam mengamalkan agama dan cara hidup mereka.

Pemerintah mengatur urusan rakyat dengan adil dan saksama. Keizinan atau kelulusan yang diberikan oleh pemerintah bukan menunjukkan akidahnya telah rosak atau dia telah menghalalkan yang haram. Melainkanlah jika perasaan dia itu memang redha atau dia sendiri melakukan perkara-perkara yang menunjukkan dia redha. Ketika itu barulah datang penilaian di sudut akidah.

Apa yang ingin dijelaskan bukan semestinya setiap yang diizinkan itu diredhai oleh seseorang. Saya misalkan, seorang anak yang mendesak ayahnya memberikannya kunci kereta kerana ingin keluar bersama dengan rakan-rakannya. Si ayah enggan memberi kerana bimbang anaknya tidak tahu mengawal diri apabila keluar bersama rakan.

Namun si anak terus mendesak dan bertegang dengan ayahnya sehingga menyebabkan si ayah akhirnya memberikan kunci kepada si anak. Anak ini pun keluar berjumpa dengan rakan-rakannya sambil berkata: “ayahku izinkan aku pakai keretanya malam ini”. Sementara si ayah apabila ditanya berkata: “memang saya izinkan tapi saya tidak redha, sebab dia mendesak dan saya malas bising-bising”.

Keadaan ini menggambarkan bagaimana kadang-kala keizinan diberikan tanpa keredhaan atau kerelaan. Betapa ramai wanita zaman tahu yang mengizinkan bapa mereka mengahwinkan mereka, sedangkan jantung hati mereka tidak redha.

Di samping ada keadaan di mana kita izinkan sesuatu dengan penuh redha. Juga ada keadaan di mana kita meredhai sesuatu tetapi tidak dapat mengizinkannya. Kita tidak izinkan mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu.

Sebab itu dalam al-Quran Allah gunakan perkataan masyiah atau kehendak dan dalam masa yang sama ada perkataan redha. Manusia menjadi beriman dan kufur adalah dengan kehendak atau izin Allah. Jika Allah tidak izin atau kehendak, maka tiada satu perkara pun yang boleh berlaku di alam ini.

Namun bukan semestinya apa yang Allah izinkan berlaku itu, Allah meredhainya. Firman Allah: (maksudnya)

“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang dihiaskan kepadanya amalan buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya baik, kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah kamu membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan” ( Surah al-Fatir, ayat 8).

Allah menyesat sesiapa yang Dia Kehendaki kerana mereka memilih kesesatan, demikian memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang ingin memilih petunjuk. Itulah peraturan alam yang Dia Maha Pencipta lagi Maha Adil tetapkan. Dia tidak menzalimi hamba-hambaNya.

Apabila kekufuran atau kemaksiatan atau kesesatan itu berlaku bukanlah Dia redha atau sukakan kekufuran sekalipun berlaku dengan izin atau kehendakNya. FirmanNya: (maksudnya) “Kalaulah kamu kufur akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memerlukan kamu; dan Dia tidak redha untuk hamba-hambaNya kekufuran; dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya untuk kamu..(Surah al-Umar, ayat 7).

Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan makhluk. Namun untuk mendekatkan faham, demikian insan dalam hidup ini mestilah dibezakan antara keizinan dan keredhaan. Dalam perjanjian Hudaibiyyah Nabi s.a.w dan Musyrikin Quraish Mekah, baginda ingin agar kepala perjanjian itu ditulis dengan Bismillah al-Rahman al-Rahim.

Namun wakil Quraish, Suhail bin ‘Amr tidak bersetuju. Dia mahu supaya ditulis seperti kebiasaan Quraish dalam menulis perjanjian iaitu BismikaAllahumma (Dengan NamaMu Ya Allah). Nabi s.a.w bersetuju dan mengizinkannya, walaupun hakikatnya baginda tidak redha demikian. Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.

Saya jelaskan noktah perbezaan ini untuk mengelakkan tuduh-menuduh sesama umat Islam dalam banyak perkara. Isu nama Allah umpamanya, menjadi tegang dalam kalangan umat Islam sendiri sehingga ada yang tuduh menuduh dengan kufur dan sesat. Ada yang menyatakan pihak yang membiarkan penggunaan nama Allah dalam kalangan bukan Islam bererti telah redha dengan kekufuran. Maka sesiapa yang redha dengan kufur, maka dia pun turut kufur.

Kesimpulan yang seperti itu tidaklah tepat. Kita mungkin berbeza antara satu sama lain, namun jangan membuat kesimpulan yang tidak berlandaskan fakta. Umat Islam yang membiarkan Kristian menggunakan nama Nabi Isa dan Maryam di tempat ibadah mereka bukan bererti selama ini kita meredhai mereka mensyirikkan Allah dan mempergunakan nama Nabi Isa a.s. yang wajib kita imani itu.

Ini bukan soal redha atau tidak, tetapi soalnya apakah kadar hak mereka yang hendak atau boleh kita izinkan. Di situ perbincangannya. Kita mungkin boleh setuju atau tidak setuju mereka guna nama Allah. Saya tidak mahu membincang isu tersebut di sini. Namun saya tidak dapat terima untuk kita cepat mengkafirkan sesama sendiri. Kita tangani perbezaan itu dengan harmoni dan matang, bukan dengan kafir-mengkafir sesama muslim.

Hati-hati wahai pembaca, ramai orang di dunia ini yang sering memutar belitkan ayat dan kalimat orang lain, lalu menyalahtafsirkan mengikut kehendaknya supaya dia dapat menghukum orang yang dimusuhinya. Setiap kita akan berdiri di hadapan Mahkamah Allah di Hari Kiamat, maka bersikap adillah!

 

Sumber Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: