Aku Kemalangan

Petang tadi hujan turun dengan renyai, aku yang pada ketika itu berada di rumah mertuaku keluar untuk pergi membeli juadah berbuka puasa. Dengan menaiki motorsikal aku redah saja hujan yang entah bila hendak berhenti.

Bak kata pepatah “Malang Tidak Berbau”. Di persimpangan lampu isyarat Taman Puncak Jalil, terdapat longgokan batu dan pasir di selekoh ke kiri. Motorku gagal dikawal apabila terlanggar loggokan tersebut dan terus terseret ke depan, aku pula tertiarap.

Nasib baik kereta di belakangku sempat brake kalau tidak entah apa jadi padaku. Dengan bersusah payah, aku bangun hidupkan motorku dan balik semula ke rumah mertuaku untuk meminta bantuan.

Aku meminta bantuan isteriku yang tercinta untuk menghantarku ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan. Tanpa melengahkan masa, kami pergi ke Klinik Fadzliana untuk mendapat rawatan.

Nasibku agak baik, tiada jahitan dikenakan hanya cuci luka biasa sahaja. Ketika iodin di bubuh pada lukaku, pedihnya bukan main lagi sampai keluar air mata. Ubat antibiotik, tahan sakit dan sapu diberi berserta M.C untuk esok hari.

Seperti kata doktor, seluruh badanku akan sakit diwaktu malam. Terutamanya di bahagian sendi dan belakang, bahagian luka tak payah ceritalah memang sakit. Alhamdulillah, syukur tiada perkara buruk terjadi.

p/s: Thanks Honey sebab bantu Abang hantar ke klinik. Abang akan ingat sampai bila-bila..

Umair Naik Motor Dengan Papa

Selesai sahaja final examku untuk kertas hari ini, aku terus balik ke rumah Ibu Mertuaku di Equine untuk bertemu dengan anakku Umair yang tersayang. Di bulan puasa seperti biasa, orang akan banyak tidur dari berjaga. Lebih-lebih lagi di hari cuti.

Umair yang baru sahaja hendak tidur, terus bangun apabila nampak papanya. Aku pun bermain-main bersamanya, sampai la dia penat dan aku pun penat. Cuaca tengah hari yang agak panas membuatkan orang hendak duduk di rumah sahaja.

Aku mandikan Umair supaya sejuk sikit badannya dan senang tidur, manakala mamanya memakaikan pakaian untuknya. Aku pula entah bila tertidur di sofa depan sampai la aku terjaga pada jam 4 petang.

Selesai solat Asar, aku pergi mendapatkan Umair yang pada ketika itu sedang memerhatikan ayam belaan bapa mertuaku. Umair pula seronok mengejar ayam yang sedang mencari makan. Lucu pula lihat telatah Umair, apa yang pelik ayam tersebut tidak takut dengan Umair dan Umair pula hanya mendekati dan memerhatikan ayam sahaja.

Cuaca yang agak redup cukup baik, aku start motor dan membawa Umair berjalan-jalan di sekitar Puncak Jalil dan Taman Equine. Sambil-sambil memerhatikan juadah di bazar Ramadhan kami berjalan perlahan-lahan dengan motorku.

Sampai di taman permainan, aku turunkan Umair dan bawanya bermain di kawasan papan gelungsur. Umair cukup suka berjalan sambil memanjat tangga. Walhal Umair belum cukup kuat untuk panjat tangga, akulah yang membantunya naik ke atas.

Agak lama bermain, aku pula yang terasa penat. Umair masih belum menunjukkan tanda-tanda penat dan apabila diajak balik dia asyik mengelak. Cukup seronok Umair bermain, padahal kami berdua sahaja di taman permainan tersebut.

Nak tak nak aku terpaksa bawa Umair balik walaupun dia masih hendak bermain, hari sudah petang. Waktu berbuka ada sejam sahaja lagi, kami pun balik sambil pusing-pusing naik motor sekali lagi di Taman Equine. Seronok Umair petang tadi walaupun hanya sekejap. Sayangnya papa tak dapat snap gambar Umair kerana tak bawa kamera. Kegembiraan Umair adalah kegembiraanku juga.

Jatuh Motor Lagi

Entah kali yang keberapa aku jatuh motor lagi. Banyak kali dah jatuh, tapi kali ini nasib baik lah motorku tidak mengalami kerosakan. Hanya kaki kiriku sahaja yang terguris luka. Macam mana boleh jatuh? Ini adalah disebabkan pasir di tepi jalan. Sebenarnya aku boleh jer elak pasir tu tetapi ada sesuatu yang telah menarik perhatianku.

Hendak dijadikan cerita, aku terlewat bangun untuk ke kelas. So, dengan bergegasnya aku pergi jugaklah kelas walaupun dah lewat. Sampai di Granada International College, aku pun puas la mencari parking yang pada waktu itu sememangnya full. Tiba-tiba aku terpandang ada satu slot kosong untuk motorku.

Kebetulan di sebelah parking aku ada la seorang awek yang cukup lawa sedang membetulkan rambutnya ala-ala iklan Syampu Rejoice, Rebonding gitu di sebelah skuter Yamaha Ego nya. Alpa sebentar dengan kejelitaannya, tayar depan motorku tergelincir disebabkan pasir di tepi jalan.

Jatuh peluk motor pulak tu, depan awek pulak tu. Tak macho langsung aku time tu. Nasib baik la aku pakai Full Face. Malu betul, nasib baik juga cuma aku dan awek tu jer di situ dan takder orang lain. Haisshhh…

Honda Wave Overhaul

Selepas 2 hari menghantar motorsikal untuk diperbaiki, akhirnya siap jua akhirnya. Dimana kisahnya bermula ketika hendak setting teppet yang berbunyi. Kuingatkan teppet, rupanya bunyi chain, rod, piston dan pelbagai lagi bunyi lain. Begitu terukkah motorsikal aku ni, sedangkan 6 bulan lepas saya baru saja buat top-overhaul.

So, untuk membuktikan kesahihan kerosakan motorsikal aku ni, pomen ni pun buka dan lerai satu persatu block head enjin dan memang nampaklah, piston dah calar macam tauhu kena korek. Alasan pomen tu oil pump dah rosak, sebab minyak tak naik ke piston. Apabila minyak tak naik, piston panas dan jammed. Tapi betul juga katanya, sebelum ni memang motor aku mati tiba-tiba masa cruising selepas sebulan buat top overhaul.

Semua part di dalam enjin adalah original Honda from Japan bukan Honda Siam. Piston, Piston ring, Oil pump pun original Honda Japan, mana kedai ni dapat? Katanya ini stok lama Japan punya, yang stok baru semua Siam mari. Aku iyakan saja katanya, janji apa yang aku laburkan berbaloi dengan apa yang aku dapat. Banyak lagi yang ditukar termasuklah clutch plate, tapi Yamaha punya. Katanya Yamaha punya lagi grip dari Honda yang senang slip.

Siap saja motor aku, pomen tu call suh datang ambik. Dengan hanya sekali tendang motor aku hidup dengan bergayanya. Macam baru, feel different from before. Terasa sedap saja bawak motor selepas buat overhaul, 7 tahun sekali buat overhaul kira OK la pada aku. Aku buat overhaul kat kedai P John Motor, Racing Motorsport, Bandar Tun Razak.

Nak komen lebih-lebih, tak boleh la. Sebab motor baru saja keluar ICU. Maybe after complete running-in barulah motor ni boleh berentap.

Konvoi Bermotosikal dari UKM, Bangi ke PPUKM, Cheras

Sempena Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UKM 2010, saya selaku salah seorang kakitangan UKM menyertai konvoi bermotosikal yang mana ianya bermula dari UKM, Bangi sehingga menuju destinasi terakhir di PPUKM, Cheras. Seramai 60 orang peserta menyertai konvoi ini yang terdiri daripada bermacam-macam jenis motorsikal dari yang berkuasa tinggi hingga berkuasa rendah.

Saya, Rahman, Zul, Farhan dan Khairill mewakili JTM, PPUKM. Kami berkumpul di UKM dan mendaftarkan diri pada jam 7.45am. Sarapan pagi disediakan dan sekeping kupon berupa voucher RM10 diberi yang boleh digunakan di stesen minyak Petronas milik Unikeb 1 dan 2. Kira-kira jam 8.45am kami mula berlepas dari UKM dan menuju ke PPUKM dengan mengelilingi sekitar UKM sebelum keluar menuju ke PLUS.

Sepanjang perjalanan, marshall kami yang terdiri daripada scooter Modenas Elegans menjadi pembantu sepanjang perjalanan dan memberi ruang kepada peserta konvoi disepanjang perjalanan. Kira-kira jam 9.30am kami semua selamat sampai dan terus mendengar sesi ceramah di Auditorium, PPUKM.

Walaupun jarak perjalanan boleh dikatakan dekat, tetapi terasa sangat jauh. Ini kerana motor yang mengetuai konvoi kali ini berjalan dengan penuh berhemah, 60km/j sahaja. Satu-satunya motor easy-rider yang menyertai iaitu officemate kami sendiri iaitu Rahman. Kalau ada peluang dan kesempatan, teringin hendak join konvoi motor ke tempat yang lebih jauh lagi. Insya-allah..

Overhaul Enjin Modenas Kriss 110

Salah seorang officemate ku mengalami masalah motorsikal semasa on the way balik dari pejabat ke rumah. Motorsikalnya yang telah berjasa sejak dari zaman belajar di kolej sehinggalah kerja, baru pertama kali breakdown. Al-maklumlah motorsikal dah uzur tua pulak tu.

Selepas melepasi Tol Besraya motorsikalnya membuat simptom pelik dan ganjil sehinggalah mati secara tiba-tiba. Mengingatkan kawannya yang kami gelar Pak Cu mempunyai seorang anak buah yang bekerja sebagai mekanik motorsikal, terus kawanku ini menelefon Pak Cu untuk meminta bantuan terhadap masalahnya ini.

Dipendekkan cerita, Pak Cu sampai dan menolak motorsikal Modenas Kriss kawanku ini sehingga sampai ke bengkel anak buahnya di Sg. Besi. Masa pun berlalu dengan pantas. Selepas beberapa hari, motorsikalnya pun telah siap dibaiki.

Apa yang menarik adalah kos overhaul sahaja RM583, Wow!!.. Angka yang cukup besar untuk overhaul sebuah enjin motorsikal. Alasan mekanik tersebut ialah hampir semua komponen di dalam enjin tersebut rosak dan tak boleh pakai. Mekanik itu juga menggunakan 100% komponen original Modenas Kriss.

Tercengang kawanku ini mendengar penjelasan mekanik tersebut. Bukti komponen yang dipasang adalah original ialah pembungkus plastik yang sudah lusuh mempunyai sticker dan cop Modenas. Mekanik itu juga menunjukkan komponen yang telah rosak.

Kasihan kawanku ini kerana dia merasakan kos membaiki adalah sekitar RM3xx sahaja. Sekali kena hampir RM600. Nak tunggu gaji masih ada seminggu, nak tak nak terpaksa la pinjam duit dari sorang kawan officemate. Aku pula hanya dapat tolong hantar dia sampai ke bengkel sahaja, nak jadi banker? minta maaf la, saya pun kering bulan ni.

Moral of the story, “Jangan Cakap Besar”. Why? Kenapa? Ada cerita di sebalik kisahnya ini. Kira-kira 3 bulan yang lepas saya buat valve clearance pada motorsikal Honda Gelombang (Wave 100). Alang-alang dah buka enjin, buat la Top Overhaul. Dipendekkan cerita, kos baikpulih berjumlah RM350. So, kawanku ini berkata “Hiishh tak mahu la aku hantar kat kedai motor ca ya nun alip mahal kena tipu bla bla bla”.

So, sekarang dia pula terkena RM580 di kedai bengkel motor Melayu. Sekarang ni siapa yang kena tipu? Dan berapa pula jumlah bezanya? Tepuk dada tanya selera. Buat kawanku Mohd Azrul, jangan bersedih. Duit boleh dicari, motorsikal tu jugalah untuk ko pergi dan balik kerja. Apa yang penting, motor ko sekarang dah mantop. Hehehe…

Konvoi to Senawang

Selepas beberapa minggu merancang untuk buat konvoi buat kali ke-2, akhirnya terlaksana jua. Pada awalnya ramai peserta yang menunjukkan minat, akan tetapi disaat akhir ramai yang terpaksa menarik diri kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.

Pada awalnya terdapat 13 peserta, tetapi hanya 5 peserta sahaja yang dapat beraksi. Peserta itu ialah Rahman, Khairill, Farhan, Zul dan saya sendiri. Selepas berkumpul di Shell selepas Tol Sg. Besi, tepat jam 8.30am saya, Rahman dan Khairill mula bergerak ke transit pertama di Bangi untuk pickup 2 lagi peserta iaitu Farhan dan Zul.

Sambil menunggu kami bersarapan di kedai mamak Seksyen 15. Sekitar jam 9.55am kami mula bergerak ke destinasi melalui Highway PLUS kerana ‘Tourist Guide’ kami tidak dapat hadir. Kalau ikut perancangan kami akan menggunakan jalan lama istilahnya ‘Jalan Dalam’.

Dalam perjalanan menuju ke selatan, 1km dari R&R Seremban kami ternampak sebuah Lori landing ‘baik’ kat tepi longkang. Mungkin dia nak berehat kot. Kami singgah berehat sebentar di R&R Seremban kerana motor kami pun perlu breakfast. Selesai berehat dan isi petrol secukupnya, kami meneruskan perjalanan.

Dalam perjalanan ke Senawang, kami ternampak sebuah Bas Sekolah tersadai di arah bertentangan. Kelihatan budak-budak sekolah bermain-main di sekitar longkang. Bas rosak agaknya. Kami meneruskan perjalanan dan keluar Tol Senawang. Keluar saja tol, simpang traffic light pertama kami belok ke kanan, sampai satu lagi traffic kami belok ke kanan lagi dan terus sampai ke destinasi. Kami sampai di Gerai Cendol Leman Dawi pada jam 10.55am.

Di sana kami mula bergambar-gambar dengan motor masing-masing sebagai bukti kami dah sampai. Ketibaan kami disambut dengan celoteh Pakcik Leman dengan fakta geografi dan sejarah negara dan negeri 9. Setiap tahun, bulan, minggu, hari, jam, minit dan saat disebut satu persatu oleh Pakcik Leman. Entah berapa lama la Pakcik Leman hafal semua nie.

Cendol biasa RM1.50, Cendol Pulut RM2.00 dan Cendol Jagung RM2.50. Hanya dengan sekali bayaran kami boleh top-u seberapa banyak yang kami mahu dan boleh tapau untuk dibawa bekal. Air Barli yang disediakan juga percuma. Sambil menikmati cendol kami melihat keadaan sekeliling, banyak juga banner yang dipasang.

Sebelum betolak pulang kami mengambil kesempatan bergambar bersama Pakcik Leman sebagai tanda kenang-kenangan. Kami mula bergerak pulang sekitar jam 1pm menuju ke Kuala Lumpur melalui Tol Senawang. Perjalanan kami walaupun agak singkat, tetapi terasa seronok kerana celoteh Pakcik Leman masih terngiang-ngiang di dalam kepala.

Konvoi kali ini adalah sebagai penutup untuk tahun 2009. Next year kami akan mengadakan konvoi yang lebih jauh dan mungkin bermalam sehari dua. Barulah feel macam Roy dalam filem ‘Gila-Gila Remaja’. Heheh..

Servis Motor

Tengah hari tadi aku keluar untuk servis motor Honda Wave ku. Memang dah sampai masa untuk servis, lebih-lebih lagi apabila tayar belakang dah pun botak. Memang saja aku ambil peluang nie untuk servis apa yang patut, sebab Sabtu nie aku akan pergi mengikuti konvoi dengan beberapa rakan officemate ke Senawang.

Cuaca yang tidak panas tetapi hujan rintik-rintik, macam mana nak cakap pasal cuaca, senang cerita cuaca tidak menentu. Aku redah ler ker kedai motor yang biasa aku pergi servis. Di situ jugak la aku beli motor pun, sebab memang aku dah kenal dengan tauke dan pekerjanya. Senang la sikit kalau dah kenal.

Dipendekkan cerita aku mintak tukar tayar baru depan dan belakang. Tayar 80/90 Dunlop TT900 (RM95x2) menjadi pilihan, minyak hitam Shell (RM25), Sparkplug NGK (RM5), Bateri Kering Yuasa (RM55), air filter (RM6), brek lining depan (RM12) dan plate belakang ganti baru (RM4). Semua kos berjumlah RM297.

Aku cuma boleh senyum sambil menghulurkan not RM50 sebanyak 6 keping. Biarlah habis kat motor, janji aku pakai motor nie hari-hari dan selamat perjalanan pergi dan balik kerja. Dan yang paling penting konvoi ‘Senawang Ride’ tidak tergendala dengan masalah motor.

Kalau ikutkan tayar depan motor aku masih tebal lagi bunganya, walaupun setelah 5 tahun digunakan. Aku tukar sebab cengkaman di jalan raya ketika basah sangatlah kurang. Paling menakutkan apabila bawak motor ketika mengambil selekoh, memang kecut perut.

Selepas menggunakan Dunlop TT900, aku mampu tersenyum kerana cengkaman di jalan raya cukup memuaskan. Kalau dibandingkan dengan Bridgestone Battlax, memang lah jauh beza. Tetapi untuk kegunaan motor cub yang aku gunakan ia sudah lebih dari memadai. Senang cerita, aku puas. Akan datang aku akan servis blok, sebab dah nampak macam overflow.

p/s: Tayar depan motor aku sebelum nie jenama Duro, jangan beli tayar nie sebab kurang grip di jalan yang basah. Tapi kalau nak bajet tayar Duro nie memang paling ekonomi. Sebab aku pakai dah masuk 5 tahun bunganya masih tebal. Macam mana pun aku tak recommend pakai tayar nie. Pada aku kurang selamat. Dah berapa kali asyik nak tergelincir…