Hari Raya Aidilfitri 2011

Pada tahun ini, saya sekeluarga beraya di Penang. Persediaan raya di Penang boleh dikatakan agak cukup kerana berbagai jenis kuih-muih dan masakan tradisi lazim di pagi raya ada disediakan. Kebanyakan lauk seperti rendang dan serunding dibuat sendiri oleh Tok tok.

Di pagi raya, seperti biasa kami akan ke masjid untuk solat sunat adilfitri. Selesai solat kami pergi melawat kubur arwah Tok Wan. Sambil membersihkan pusara Tok Wan, saya diminta oleh Tok tok untuk membacakan surah Yasin. Tanpa fikir banyak saya bacakan surah Yasin sehingga selesai.

Selesai balik dari kubur, aktiviti pertama kami ialah makan juadah raya. Rendang dan lemang menjadi menu utama, namun saya hanya makan tosei dan gulai ayam sahaja. Ketupat palas ditambah dengan kuah kacang cukup menyelerakan. Walaupun tiada lodeh seperti di Johor, ianya sudah memadai buat ku.

Selesai makan kami bermaaf-maafan sesama kami sambil bergambar. Di sini konsep bermaaf di antara family dipanggil “Beraya”. Saya sendiri susah nak jelaskan apa kaitannya, aku cuma ikutkan sahaja trend di sini. Pada waktu ini juga, duit raya bertukar tangan.

Pada petangnya, kami pergi melawat keluarga Mak Besar iaitu keluarga adik-beradik bapa mertuaku. Di sana menu utamanya ialah Nasi Arab bersama kambing dan ayam. Juga ada nasi himpit, kuah kacang dan lodeh. Memang menyelerakan sesuai dan kena dengan seleraku.

Malamnya, aktiviti kami bermain mercun dan bunga api. Pakcik Man membawa mercun 48 das memang mercun yang paling power di Taman Che Aminah. Namun ada sedikit insiden dimana adik iparku berselisih faham dengan birasku. Saya cuma dengar cerita dari orang yang melihat kejadian tersebut kerana pada waktu itu saya sedang menguruskan Umair yang berak.

Malam sebelum tidur, saya dan isteri mengira duit raya Umair. Cukup banyak untuk seorang baby, saya sendiri tidak pernah dapat duit raya sebanyak tu. Ini baru hari raya pertama, esok punya cerita tak tau lagi.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JTM 2010

Pada hari ini, jamuan makan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri JTM 2010 dibuat di sekitar pantry JTM sahaja. Pelbagai juadah disediakan, sebahagian besarnya disponsor oleh vendor kami iaitu ABDA dan Mesiniaga. Beberapa patah ucapan diucapkan oleh Pengerusi KSK kami dan juga Ketua Jabatan kami. Kami juga menjemput seorang staff lama JTM yang telah ditukarkan ke Jabatan Kewangan iaitu Puan Zarimah.

Pelbagai juadah makanan yang lazat-lazat disediakan pada pagi tadi, di antaranya ialah sate, nasi minyak, lauk ayam dan daging, kambing panggang juga ada. Buah-buahan, dessert, bakso, soto dan beberapa jenis kuih-muih. Rasanya tahun ni agak kerap orang menjamu kambing panggang, tapi tidak pula terasa muak. Kambing panggang lambat sampai kerana terperangkap di dalam boot kereta. Lebih kurang jam 11 lebih barulah kami dapat merasanya.

Ketika kami sedang menikmati juadah yang disediakan, skrin layar memaparkan gambar-gambar staff JTM yang pernah menjadi sejarah suatu ketika dahulu. Juga terdapat tayangan video dimana ucapan hari raya dibuat oleh semua staff yang telah menjayakannya.

Selesai sesi makan-makan, kami mula bergambar secara berkumpulan mengikut zon dan unit masing-masing, dan juga mengikut warna baju yang dipakai. Saya pula memakai baju berwarna hijau, maka saya bergambar dengan staff yang berbaju hijau sahaja. Makanan yang banyak begitu cepat habis, memang warga JTM pelahap orangnya. Cuma buah-buahan sahaja yang banyak tidak habis.

Alhamdulillah, majlis kami berjalan dengan lancar. Semua orang dapat menikmati sama rata. Selepas solat Jumaat, makanan masih ada. Saya pun masuklah 3rd round, so save la bajet sket untuk makan tengah hari. Hehehe…

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPUKM 2010

Pada hari ini, Pusat Perubatan UKM mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPUKM bagi tahun 2010. Bersempena itu saya tidak melepaskan peluang untuk menjamu selera bagi kesemua jenis makanan yang ada. Majlis bermula selepas solat Jumaat iaitu kira-kira jam 3.30pm selepas perasmian dilakukan.

Hujan yang turun tidak menjadi halangan bagi semua warga UKM untuk menjamu selera. Apa yang penting makan tetap makan. Terdapat pelbagai juadah yang disaji, menu utama seperti tahun-tahun sebelumnya ialah kambing panggang, sate, ketupat, lodeh, kebab, roti john, cendol, ais krim, buah-buahan, kerepek pelbagai jenis, lemang, rendang, koew teow goreng yang dimasak atas permintaan, juga terdapat variasi makanan vegetarian, pelbagai jenis mee yang terdiri dari mee sup utara dan pelbagai jenis lagi.

Saya pula tidaklah makan sekenyang-kenyangnya, cuma merasa sedikit setiap satu jenis makanan yang ada. Bermula dari buah epal, kambing panggang, kebab, sate, ketupat dan lodeh, cendol, ais krim, rendang dan last sekali air oren. Mee sup utara dan vegetarian food tak sempat untuk dirasa kerana telah habis lebih awal.

Majlis berakhir agak lewat kerana masih ada makanan yang belum habis dan pengunjung juga masih boleh tahan ramai. Saya pula telah naik semula ke pejabat pada jam 5pm kerana sudah kenyang. Apa yang menarik kambing panggang masih belum habis kerana ada 8 ekor kesemuanya, tidak seperti tahun lepas yang mana kambing panggang antara yang terawal habis dahulu.

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PPUKM kali ini agak meriah walaupun tidak ada gerai-gerai yang diwakili dari setiap jabatan seperti tahun-tahun sebelumnya. Majlis juga berjalan dengan aman tidak ada apa-apa insiden yang tidak diingini berlaku.

Selamat Hari Raya Aidilfitri From Sufri Sekeluarga

Sempena menyambut 1 Syawal, hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Begitu juga dengan saya sekeluarga turut menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang di Labuan.

Dengan kesempatan yang ada, saya menyusun 10 jari memohon maaf kepada semua pembaca blog saya yang mana sekiranya ada artikel yang saya papar atau siarkan menyinggung perasaan dan sensitiviti individu tertentu.

Salam Eid Mubarak to all reader and blogger..